26 August 2012

PUDING TRIFLE

Sedap! rugi tak buat..!


Kenapa ianya dipanggil trifle... agak-agaknya sebab ada 3 lapis kot... kek, custard dan agar.


Di pendekkan cerita... inilah caranya..

Mula-mula potong dan susun kek gulung di lapisan paling bawah. Basahkan kek tersebut dengan air dari mix cocktail. Kemudian untuk lapisan kedua; kita perlukan 4 sudu besar tepung kastad, 1 tin susu cair dan 4 sudu besar gula... jangan lupa bancuh tepung kastad dgn sedikit air dahulu.. kalau tak pasti berketul-ketul.. Masak bahan ini hingga likat dan boleh dituangkan keatas kek tadi. Biarkan ia sejuk sebentar. Letakkan buah-buahan dari mix cocktail tadi keatas kastad tadi. Untuk lapisan ketiga; anda perlu masak agar-agar + gula + daun pandan + pewarna (ikut suka), masak agar-agar seperi biasa. Setelah itu tuangkan keatas kastad tadi. Setelah selesai.. bolehlah di masukkan kedalam peti sejuk... Senangkan..! :)

BUBUR LAMBUK TERENGGANU

Bubur lambuk pantai timur ni dipenuhi dengan sayur ulam-ulaman dan ikan... saya suka sangat bubur lambuk ni, kalau berbuka makan yg ini saja pun takpe. Inilah bubur lambuk favourite kita adik beradik di bulan puasa. Mama mmg selalu buatkan bubur lambuk ni. Bukannya tak boleh buat sendiri... tapi masakan air tangan mak memang best.. membuatkan kita selalu teringatkan mak kita di kampung walau di mana jua kita berada. Saya pun ingin selalu memasak... nanti anak-anak saya pun akan teringatkan masakan saya.. hehehe... Jadi mari kita cuba buat sendiri.. Apa lagi... Jom!


Bahan-bahannya ialah sayur ulam-ulaman (paling banyak daun pucuk kayu, daun kaduk, daun cekur manis, daun pucuk ubi kayu, daun ...), ubi keledek, santan, ikan selayang/kembung dalam 4 ke 5 ekor (ikut suka, kalau nak ikan banyak boleh tambah lagi), bawang merah 6 ulas, bawang putih 4 ulas, lada hitam, garam, special ingredient.... budu. :D hehehe . Tak lupa nasi/ beras untuk dibuat buburnya.



Masak nasi untuk dibuat bubur... Rebus ikan. Tumbuk bawang merah + bawang putih + lada hitam hingga lumat (guna lesung ye... nanti ada org tanye pulak tumbuk mcm mane). Kemudian masukkan isi ikan yg telah direbus tadi, tumbuk bersama bawang2 tadi. Setelah itu masukkan ke dalam bubur tadi. Kacau rata dan masukkan santan. Kacau lagi. (Kena selalu kacau takut bubur nasi hangus dan melekat di bahagian bawah)

Kemudian masukkan pula sayuran ulaman tadi. Masak lagi dan kacau... masukkan garam secukup rasa dan tak lupa budu secukup rasa. Kacau sehingga sedikit pekat. Tidak terlalu likat dan tidak pula terlalu cair. Siap sudah...

11 August 2012

AYAM PERCIK

Menu berbuka saya hari ni ialah ayam percik. Inilah cara saya memasak ayam percik... 

Mula-mula panggang ayam yang digaul dengan kunyit + garam. Untuk kuah pula bahan-bahannya ialah bawang merah, bawang putih, sedikit halia, halba, cili boh, serai, santan, gula dan garam. Mula-mula tumis bawang merah + bawang putih + halia yg dikisar kesemuanya sehingga naik bau. Masukkan pula cili boh, tumis hingga pecah minyak. Masukkan serai yg dititik dan sedikit halba. Kemudian masukkan santan. Kacau dan biarkan sehingga pekat. Setelah siap bolehlah dicurahkan kuah di atas ayam yg dipanggang tadi. walahh... siap!



09 August 2012

NASI KUNYIT

Faiz suka sangat nasi kunyit ni, makan saja pun takpe. Jadi terpaksalah maknya selalu membuat nasi kunyit.
Kalau dekat Terengganu, nasi kunyit selalu ada dijual di pagi hari. Orang buat sarapan.. macam nasi lemak. Kalau balik kampung, mesti tok ki akan belikan faiz sebungkus setiap pagi. :) Ada orang panggil nasi kunyit, ada yg panggil pulut kuning ataupun nasi semangat.

Okey... sekarang mari kita cuba buat nasi kunyit. Mula-mula kita perlu rendamkan pulut di dalam air yg dicampur dengan sedikit serbuk kunyit. Rendam semalaman ataupun 2 jam pun sudah memadai kalau buat dalam anggaran sedikit. Saya buat satu pot aje... untuk makan pagi. Mama kata masukkan asam keping untuk  jadikan nasi kunyit kelihatan berkilat. Ini petua Tok Wan katanya. Setelah beras pulut kelihatan kuning, sudah tiba masanya untuk mengukus.


Masukkan beras pulut ke dalam pengukus dan kukus sehingga kelihatan sedikit masak. Masukkan pula ke dalam bekas lain untuk kita masukkan santan. Masukkan santan kira-kira sampai paras beras pulut tersebut dan terus kukus sehingga masak. Setelah masak boleh dihidangkan... sedap dimakan bersama gulai ayam/ daging. :)


DIY : CHIPSMORE FELT

Hari ni kita buat Chipsmore cookies. Mula-mula tekap bentuk bulat untuk buat badan biskut, satu bahagian hadapan dan satu lagi bahagian belakang. Kemudian ambil reja yg berwarna coklat gelap dan potong bulat-bulat untuk dibuat chocolate chips. Jahit chocolate chips tadi pada badan biskut. Cantumkan bahagian badan hadapan dan belakang. Tinggalkan sedikit bukaan untuk dimasukkan fiber dan jahit hingga habis.
 
Sudah siap chipsmore saya !

06 August 2012

DIY : JAHIT MANIK PADA BAJU

Cantik tak manik-manik yg saya jahit pada baju kurung anak saya. hehe... (masuk bakul, angkat sendiri lak..) Baju kurung ni kosong je warnanya. Untuk baju ni saya pilih manik yg berwarna putih sbb ianya lebih menyerlah. Mula-mula lakar pada kertas corak yg anda suka. Cuba susun manik-manik tu pada baju... nak pastikan ok ke tak ok, sesuai ke tak? Lukis pada baju menggunakan kapur untuk melukis pada kain. Kemudian mulakan jahitan anda...


NASI HUJAN PANAS

Hari ni kita pekena nasi hujan panas. Nasi ni dipanggil hujan panas... disebabkan warna-warni nasi tu. Apabila cuaca panas dan tiba-tiba hujan turun... maka muncullah sang pelangi. Nasi ini diibaratkan bagai pelangi... sungguh warna-warni.


Cara-caranya ialah... kita tumis rempah 4 beradik tu (kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan cengkih) bersama sedikit mentega. Kemudian masukkan ke dalam periuk nasi, masak nasi mcm biasa. jangan lupa letakkan juga simpulan daun pandan untuk mewangikan lagi nasi kita. Setelah nasi hampir masak masukkan beberapa titisan pewarna merah, hijau dan kuning (titiskan pewarna tu ye..). Biarkan ia hingga masak. Setelah masak gaulkan nasi tu... jadilah ia berwarna-warni.


Untuk bahagian lauk pauknya. Saya ada sediakan ayam kurma dan udang masak merah. (Boleh juga buat ayam masak merah / acar)

29 July 2012

POPIA SARDIN

POPIA... senang dibuat... senang dimakan... hehe




mula-mula leraikan satu persatu kulit popia tu. Kemudian lecek-lecekkan sardin bersama bawang besar yg dipotong dadu, daun bawang dan sedikit cili merah, perahkahkan sedikit limau nipis untuk hilangkan bau hanyir... jangan lupa sedikit garam. Balut adunan tadi dengan kulit popia.... dan akhir sekali goreng.. :)

BEGEDIL AYAM

Hari ni saya nak buat begedil ayam... saya memang suka begedil sejak kecik lagi, mama pun suka.. tp selalunya beli kat kedai. Tapi kali ni inilah resepi begedil yg saya buat.




Bahan-bahannya adalah kentang yg direbus / digoreng hingga empuk, kemudian dilecek, isi ayam yg dicincang, bawang besar ditumbuk halus, daun sup dipotong halus, lada sulah, sedikit garam, telur untuk mencelup begedil yg sudah dikepal dan tak lupa minyak untuk menggoreng.
Gaul semua bahan di atas tu kecuali telur, kemudian kepal bagi bulat macam bola tu. Pastikan kepalan tu kejab betul supaya kentang tidak pecah semasa menggoreng. Kemudian masukkan sedikit garam ke dalam telur yang telah dipukul dan celup bebola begedil tadi. Akhir sekali goreng sehingga sedikit garing supaya isi ayam masak.. siap sudah..

24 July 2012

DIY : DONUT FELT

Hari ni saya cuba kraf baru menggunakan kain felt. saya buat bentuk donut.


Susah betul nak cari cara-cara buat benda alah ni. jadi apa salahnya saya berkongsi idea. Anda boleh buat juga. Bahan-bahan yg diperlukan ialah kain felt, benang, jarum, manik dan fiber. Mula-mula lakar bentuk bulat dan potong kertas. lubangkan di tengah-tengah menyerupai kuih donut. Pinkan pada kain felt dan potong.


Setelah itu kain felt perlu dipotong mengikut bentuk kertas tersebut. Potong bentuk donut tu 2 bahagian, satu untuk bahagian belakang dan satu untuk bahagian hadapan. Potong satu lagi felt yg berlainan warna untuk menampakkan donut tersebut seperti dicelup coklat. Kemudian jahit jelujur felt seperti celupan coklat pada felt donut bahagian hadapan. Tambahkan manik-manik untuk kelihatan lebih menarik.


Jahitkan bahagian bulatan dalam donut dan juga bahagian luar donut. Tinggalkan sedikit bukaan untuk dimasukkan fiber. Setelah siap masukkan fiber, jahit bahagian bukaan tersebut. Sekarang sudah siap donut untuk anak-anak saya. Buatlah satu untuk anak-anak anda juga! :)


23 July 2012

AYAM MASAK KUNYIT

Ini resepi ayam masak kunyit papa saya. Ini resepi dari papa. Saya tersangatlah suka ayam masak kunyit ni. Jadi inilah resepi saya untuk hari ini. Selamat mencuba ye..


Bahan-bahan yg diperlukan ialah ayam, serbuk kunyit, halia, bawang besar, air, daun bawang, garam + gula.
Mula-mula sekali masukkan ayam, serbuk kunyit, air, garam dan gula kedalam kuali. Biarkan ia masak dan tunggu air tersebut sedikit kering. Kemudian masukkan minyak masak. Masukkan pula hirisan halia dan goreng sehingga masakan agak kering. Akhir sekali masukkan hirisan bawang besar dan daun bawang. Okeh sudah siap...

ASAM PEDAS

Menu berbuka puasa untuk hari ketiga ialah masak Asam Pedas.. Jadi inilah resepi saya..sebenarnya resepi abang ipar saya Cikgu Zool dan kakak saya Cikgu Ilyani. Asam pedas diorang tersangatlah best.. hmmm... saya kene belajar lagi.. Jadi kembali kpd tajuknya... Main Actor masakan ini ialah encik/puan ikan (apa2 jenis ikut pilihan sendiri), 4 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih, cili kisar, asam jawa, daun kesum, garam + gula.


Cara -caranya ialah :

  1. panaskan minyak. tumis cili kisar, bawang merah dan putih yg dikisar hingga pecah minyak.
  2. masukkan air asam jawa dan air. biar mendidih, kemudian masukkan ikan.
  3. masukkan daun kesum. (boleh juga masukkan bunga kantan yg dibelah dua, bendi atau tomato)
  4. masukkan garam dan gula, biar hingga masak. hidangkan...



21 July 2012

JOM : TAMAN LAYANG-LAYANG

Mari kita ke Taman Layang-layang. Lari dari kesibukan kota, kita ke dataran padang yang luas. Bermain layang-layang memang sesuai untuk seisi keluarga. Kami telah ke sana. Anda bila lagi? Best!


Sedang ralit bermain layang-layang... :)


Mari kita biarkan diri kita bebas seperti layang-layang, tetapi masih berpegang pada tali. Kita bebas kemana-mana, berkeliaran di permukaan bumi, bebas berfikiran dan melontarkan pandangan. Bebas tetapi masih berpegang pada nilai ketimuran, adat dan tatasusila jangan sekali dilupa. Layang-layang berpegang pada tali nilon, angin sekuat mana pun tidak terputus. terbang setinggi mana pun tidak terputus. Kita sebagai manusia juga perlu berpegang pada tali, tali kita adalah agama. Semoga agama kita tidak putus dari kita. Putus agama rosaklah segalanya. Jika kita terputus.. cepat-cepatlah kita kembali kepadaNya.


DI MANA TAMAN LAYANG-LAYANG?

kepong

Untuk mengetahui dengan lanjut boleh layari internet dengan carian Google atau lain-lain enjin carian. 

JOM : JALAN-JALAN DI I-CITY

Hari cuti dah tiba, jadi marilah kita bawa anak-anak ke I-City. Di Mana? di Shah Alam. Bayaran masuk di kira perentry. sekali masuk RM10.00 dari jam 6.00 petang sehingga ke 6.00 pagi. Bayaran untuk setiap permainan dikira berasingan.(nati saya update lg)





Pelan lokasi telah saya cari menggunakan Google map. Jadi apa lagi... moh kita..!



JOM : TAMAN ARNAB DI BROGA


Suatu petang di Rabbit Fun Land di Broga, Semenyih. Puas mencari akhirnya sampai juga, pencarian menggunakan GPRS memang agak menarik sebab semua anak jalan ditunjuknya. Akhinya kene berhenti dan tanya orang jalan mana satu. Rupanya jalan kesana sangat mudah betul-betul berhadapan Broga Hill. Almaklumlah tak pernah sampai. Dikeliling ladang kelapa sawit ada tempat menarik...

 

Sepetang puas bermain dengan arnab-arnab yg comel. Macam-macam warna ada hitam, putih, kelabu, coklat... Anak-anak sangat teruja, maknya pun sama. Teringat zaman kanak-kanak dahulu, pernah bela arnab sehingga mencapai angka 20 ekor. Arnab memang cepat betul membiak. Papa yg banyak uruskan arnab tu. Aku dengan adik tolong bagi makan dan air je tiap hari... bab mandikan arnab, bersihkan kandang, dan najis, semua papa yg uruskan.


Jangan ingat di Rabbit Fun Land ni mereka cuma ada arnab. Mereka juga ada juga haiwan-haiwan lain seperti yang dipaparkan. Sungguh merehatkan minda, boleh lepaskan anak-anak tengok haiwan, penjaga haiwan-haiwan ini pun ada memantau. Lupa pula nak bagi tahu sewaktu saya kesini bayaran masuk RM5 seorang. Kanak-kanak bawah umur free. Untuk kemasukan secara pakej pun ada sekali dengan makan sate arnab harganya lebih kurang RM30 untuk sekeluarga. (tak pasti keluarga tu berapa orang min/max)


Bilalah nak pergi lagi yer..

DIY: BUKU KRAF ANAK-ANAK

DIY singkatan untuk Do It Yourself

Kali ini Faiz dan Aina buat buku utk tulis-tulis dan conteng. Budak-budak ni memang teruja kalau tengok mak bawakkan kertas pelbagai warna, gunting dan gam. Mak sudah jadi macam artis, dua orang budak ni duk mengekor mak ke hulu hilir.


Apa yg diperlukan: kertas A4 pelbagai warna, Kertas A4 putih, gunting, gam dan staple. Mula-mula ambil sehelai kertas A4 berwana, lipat dua. Ambil kira-kira 5 helai kertas A4 putih dan dilipat dua. Letak kertas A4 berwarna di belakang sekali sebagai kulit buku dan kertas A4 putih sebagai isinya. Staplekan kertas-kertas tersebut. Siap sudah sebuah buku. Kemudian gunakan imiginasi anda untuk mencorakkan kulit depan buku skrap tersebut. Ambil kertas yg berbeza warna dan potong mengikut bentuk kesukaan anda. Kemudian bagi anak-anak tampal. Mereka tentu sukakan kerja menampal ini. Anda juga boleh membeli paper cutter yg berbentuk heart, star dll untuk mencantikkan buku tersebut.  Faiz suka dengan cutter berbentuk heart ni. Puas hati dia menebuk kertas.. Mak nak cari cutter corak lain pula... :)


PUDING BUAH

Bla.. bla... bla... hihi :D
Menu kali ini ialah puding buah mix fruit


Seperti biasa.. cara membuatnya :

Mula-mula untuk bahagian pertama : masak 1 pek agar-agar + 4 gelas air dan daun pandan. Setelah  agar2 sebati dan hancur, masukkan 1 tin susu cair. Setelah itu masukkan setengah tin susu pekat. Gaul hingga sebati. (Gunakan api kecil). Tutup api.


Tuang buah-buahan mix fruit tadi ke dalam bekas, aturkan. Akhir sekali tuangkan adunan agar-agar tadi dan biarkan sejuk.


Kan mudah... siap sudah...

PUDING BUIH

Inilah puding buih yg menjadi kegemaran papa saya. Setelah saya mencuba beberapa kali inilah hasilnya. tada... (nanti saya update lagi)



Cara buatnya pula...

Mula-mula untuk bahagian pertama : masak 1 pek agar-agar + 2 gelas air + 2 sudu besar gula dan daun pandan. Setelah  agar2 sebati dan hancur, tutup api dan biarkan ia hingga suam-suam kuku.


Kemudian  untuk bahagian keduanya pula : Pukul 5 biji telur (putih jer) sehingga tersangatlah kembang, kemudian masukkan baki 4 biji telur merah sambil pukul adunan. (Tinggalkan 1 baki telur merah untuk bahagian kuah) Kemudian masukkan esen vanila 1 sudu kecil. Jangan lupa masukkan beberapa titik pewarna merah. 


Setelah agar-agar tadi suam-suam kuku, masukkan ke dalam adunan kedua. Pukul adunan hingga sebati. Kemudian tuangkan kedalam bekas dan biarkan ia. (Tujuan agar-agar dibiarkan hingga suam-suam kuku adalah untuk mengelakkan puding buih berlapis kepada dua bahagian: atas buih, bawah agar-agar)


Bahagian ketiga untuk kuah. Masukan lebihan telur kuning tadi, 1/2 tin susu cair, 1 sudu besar tepung kastard, 1/2 sudu kecil esen sikit, kacau dengan sedikit air. Masak guna api perlahan. Jgn sampai berketul..bila kuah dah nak pekat, tutup api.


Sedap dimakan ketika sejuk.



APAM POLKADOT

Inilah apam yg menjadi kegemaran anak-anak saya. Anak-anak lebih tertarik untuk makan apam ini sebab ianya lebih menarik kalau dibandingkan dengan apam biasa yg mempunyai satu warna sahaja. Resepinya sama sahaja, cuma yang bezanya adalah corak polkadot ditukar kepada gambar Angry Bird, Ladybird dan Bee. Corak apa-apa pun boleh dilakar mengikut kreativiti anda. (Nanti saya update lg)



Sekarang kita cerita tentang cara pembikinanya. :)


Mula-mula masukkan gula castor 1cwn + 2 sudu besar, kemudian 3 biji telur. Pukul high speed sampai putih. Kemudian masukkan 2 1/5 cawan tepung gandum + 3 sudu kecil Baking Powder. (Ayak tepung gandum dan Baking Powder supaya sebati dan juga untuk menjadikan tepung gandum tidak berketul-ketul/ mengelakkan bendasing termasuk). Masuk sedikit demi sedikit sambil pukul adunan. Masukkan pula susu cair 150 ml (boleh juga digantikan dengan susu segar 150 ml jika mahu) sambil adunan dipukul. Apabila adunan sebati masukkan 1 sudu kecil ovallette. Terus pukul hingga kental. Kan dah siap adunan. Jangan lupa masukkan 1 sudu kecil perasa vanila untuk menghilangkan bau hamis telur dan sebagai penambah perisa. (boleh juga digantikan dengan apa-apa jenis perasa spt perasa pisang, ros, lemon dll) 

Akhirnya bolehlah diasing-asingkan adunan mengikut warna yang ingin digunakan. Jika tiada Piping Bag, Gunakan plastik, masukkan adunan dan ikat dgn getah, kemudian gunting sedikit lubang kecil di hujung penjuru plastik utk memudahkan kita picit adunan untuk melakar.


Setelah selesai mengadun dan melakar bolehlah dikukus adunan apam tadi dengan api sederhana lebih kurang 15 minit.



 (ni yg x jadi sbb dikukus dgn api kuat : apam masak diluar tapi di dalam tak masak)


(apam ni bantat tak kembang : adunan silap)